Jendela senario politikus dan ekonomi negara
tahun 2000
Politik
Senario politikus negara telah berubah secara
drastik sejak kemenangan Barisan Nasional pada pemilu 1999. Parti UMNO purba
mengalami kekalahan yang amat teruk. Kekalahan UMNO yang amat teruk memberi
tamparan hebat kepada diktator tua. Diktator tua yang memimpin parti purba tidak
suka orang melabelnya diktator tetapi kita orang tetap akan melabelnya diktator
sesuai dengan pemerintahannya yang kejam lagi zalim. Rupa-rupanya kekalahan yang
teruk kepada partinya dalam pemilu 1999 memberi kesan yang mendalam kepada parti
pembangkang. Diktator tua yang sudah tidak betul lagi menampakkan perangai dan
kerenahnya yang semakin menggila dan mengganas kepada parti pembangkang dan
rakyat.
Saya boleh katakan tahun 2000 merupakan tahun yang banyak memberi
cabaran dan dugaan kepada parti pembangkang dan rakyat marhain. Parti pembangkang
tidak diberi peluang untuk bernafas. Dengan perkataan lain, usaha membalas dendam,
menabur fitnah dan memburuk-burukkan keatas parti pembangkang giat dijalankan
melalui mesin propaganda seperti Utusan Meloya dan UMNO sendiri. Diktator tua
memang dengki kepada kepopularan parti pembangkang yang semakin mendapat tempat
dihati rakyat. Berbagai-bagai peristiwa hitam menimpa parti pembangkang.
Peristiwa-peristiwa ini benar-benar menguji kesabaran dan ketabahan parti
pembangkang dan rakyat ketahap yang maksimum. Saya pun hampir gila dibuatnya
(joking).
Pemerintahan kerajaan Barisan Nasional yang tidak mengikut
Perlembagaan Persekutuan, prinsip Rukun Negara, Al-Quran, Hadis, Tasawwur
dan mengamalkan pemerintahan kuku besi telah menimbulkan kemarahan daripada
masyarakat. Diktator tua telah membuat kesilapan yang besar dengan memandang
rendah kewarasan dan kebijaksanaan masyarakat mengenai kesedaran politik. Rakyat
bukan lagi sebodoh zaman 60-an atau 70-an. Masyarakat sudah tahu hak mereka
sebagai rakyat Malaysia dalam menuntut hak dan kehendak mereka dipenuhi oleh
kerajaan.
Tahun 2000 merupakan tahun di mana rata-rata rakyat Malaysia
tidak mahu memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional. Tiada siapa mahu
sokong kerajaan yang korup, tidak bertanggungjawab, tidak telus, tidak bermaruah
dan zalim. Kaum Melayu, Cina dan India bersatu padu dengan memberi sokongan yang
tidak berbelah bahagi kepada parti pembangkang dengan mengalahkan kerajaan Barisan
Nasional di Lunas. Kemenangan parti pembangkang telah memberi satu suntikan
semangat yang tinggi kepada parti pembangkang untuk berusaha dengan lebih gigih
untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pada pemilu 2004. Rakyat telah
memberi kepercayaan kepada parti pembangkang dan keyakinan dan kepercayaan kepada
kerajaan Barisan Nasional sudah tiada lagi.
Perjalanan ke arah membebaskan
negara daripada kekejaman regim diktator tua masih jauh lagi dan penuh dengan onak
berduri. Masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan oleh parti pembangkang. Satu
perkara yang paling penting yang mesti dilakukan oleh parti pembangkang ialah
menyelesaikan segala pertikaian dan masalah dalaman komponen parti pembangkang.
Diharap segala masalah dapat dicapai dan diselesaikan antara komponen parti
pembangkang dengan mengambil kira sensitiviti Pas, DAP, Keadilan, PRM, dan
kepentingan masa depan parti pembangkang. Parti pembangkang dan rakyat mesti
bersiap sedia dan menghadapi apa sahaja dugaan dan cabaran daripada kerajaan
Barisan Nasional.
Diktator tua tidak akan membiarkan kekalahan kerajaan
Barisan Nasional di Lunas begitu sahaja. Dengan khabar politik ganas akan
dibendung dengan menggunakan undang-undang dan akta-akta pada tahun hadapan.
Tangkapan beberapa pemimpin Parti Keadilan yang dikatakan melakukan rusuhan di
Lunas merupakan prelude atau permulaan untuk menangkap pemimpin-pemimpin parti
pembangkang dan Suqiu secara beramai-ramai. Oleh itu parti pembangkang mesti
berwaspada sepanjang masa kerana saya jangkakan diktator tua akan bertindak lebih
ganas lagi dan sanggup buat apa sahaja demi menjaga kedudukan dan kuasanya yang
semakin tergugat. Diktator tua sendiri mengaku dia tidak berpuas hati mengenai hal
politik negara. Oleh itu, dalam fikirannya mungkin sudah ada rancangan untuk terus
melakukan tindakan gila yang tidak akan dilakukan oleh orang yang waras.
Ekonomi
dan isu yang lain
Pada dasarnya ekonomi negara mencapai pertumbuhan yang
agak baik. Namun pertumbuhan ekonomi negara yang baik semakin menurun dan
kemungkinan negara akan menghadapi kesukaran untuk mengekalkan pertumbuhan negara
pada tahap yang memberangsangkan pada tahun 2001. Suka atau tidak diktator sendiri
mengaku negara kemungkinan akan mengalami kegawatan ekonomi sekali lagi atau
negara tidak akan dapat mencapai pertumbuhan lebih 6 peratus pada tahun hadapan.
Ini bergantung kepada faktor luaran iaitu keadaan ekonomi Amerika Syarikat yang
tidak menentu dan begitu juga dengan Jepun. Jika Amerika mengalami kemelesetan
ekonomi, ia akan memberi kesan yang buruk kepada negara.
Betulkan pendapat
saya jika saya silap. Pertumbuhan ekonomi yang dikatakan baik oleh kerajaan tidak
beri manfaat kepada rakyat. Rakyat tidak dapat merasa positive spill-over effect
dari pertumbuhan ekonomi yang agak baik. Anda mungkin katakan saya memberi
pendapat dari sudut yang sempit. Taraf hidup rakyat dari golongan bawahan dan
pertengahan tidak banyak berubah dan mungkin menurun. Kerajaan selalu
menggembar-gemburkan mengenai ekonomi negara yang sudah pulih dan mencapai
pertumbuhan ekonomi yang baik. Namun apakah bentuk faedah dapat diperolehi
oleh rakyat melalui pertumbuhan ekonomi yang baik? Boleh dikatakan pencapaian
pertumbuhan ekonomi negara memang baik tetapi tidak kepada taraf hidup rakyat
biasa yang semakin menurun.
Saya lebih suka berbicara mengenai taraf hidup
rakyat biasa seperti saya. Saya seperti rakyat yang lain terpaksa menghadapi
keadaan yang agak mencabar iaitu menghadapi kenaikan kos taraf hidup yang semakin
meningkat iaitu harga barang-barang dan perkhidmatan yang semakin meningkat.
Kenaikan harga petrol dipasaran dunia telah memberi kesan yang buruk kepada kita.
Kerajaan tidak mampu menampung subsidi yang semakin meningkat. Oleh itu, sedikit
sebanyak beban terpaksa dipindahkan kepada rakyat. Akhirnya rakyat biasa yang
menanggung kos yang tinggi.
Apa yang melucukan ialah kerajaan tidak mampu
tanggung subsidi yang dikatakan lebih daripada RM 3 billion tetapi ada duit untuk
membail-out anak-anak diktator dan kroni-kroni yang hampir bankrap seperti Halim
Saad dan Tajudin Ramli. Begitu juga dengan pembaziran wang dalam membina
projek-projek gajah putih seperti KLCC dan KLIA. Projek Bakun, mahligai diktator,
Putrajaya dan Litar F1 Seepeng tidak memberi manfaat kepada rakyat biasa. Saya
berpendapat duit yang berpuluh-puluh billion dibazirkan untuk membina
projek-projek mega dan bail-out di atas memang cukup untuk menampung kos subsidi
petrol yang semakin meningkat. Bukan saja cukup menampung subsidi malah ada duit
lebihan pula. Malangnya inilah yang dikatakan kononnya kerajaan membela nasib
rakyat. Bukan sahaja nasib rakyat tidak terbela malah dianaiyai dan diseksa oleh
diktator. Rakyat tidak akan menanggung penderitaan kalau kerajaan tidak boros dan
menggunakan duit rakyat untuk kepentingan diktator, anak-anak dan kroni-kroni.
Walaupun
secara teori dari segi ekonomi, negara tidak mungkin akan bankrap namun rakyat
biasa dibebani dengan hutang lapuk keliling pinggang hasil daripada kerakusan
diktator memperkayakan dan menyelamatkan anak-anaknya dan kroni-kroninya. Diktator
telah menyalahguna kuasanya untuk mengaut kekayaan negara. Duit yang sepatutnya
menjadi hak milik rakyat diberikan kepada golongan tertentu sementara itu rakyat
terus meneropong, duit mereka telah dirampas oleh diktator. Contoh terbaik ialah
wang ihsan dan pemberian bonus. Wang royalti milik rakyat negeri Terengganu
dirompak oleh diktator tua dan digantikan dengan istilah wang ihsan. Pemberian
bonus diberikan kepada kakitangan kerajaan hanya setelah diktator takut mengenai
sokongan yang semakin berkurang kepada kerajaan Barisan Nasional dan bukannya
kerajaan prihatin kepada masalah dan beban perbelanjan yang dihadapi oleh rakyat.
Kalau kerajaan Barisan Nasional menang di Lunas, kemungkinan besar bonus tidak
akan diberikan kepada kakitangan kerajaan.
Banyak lagi perkara yang saya
ingin cerita tetapi cukuplah setakat ini. Apa yang saya mahu katakan saya tidak
berani ramalkan apa yang akan berlaku pada tahun 2001. Apa yang kita perlu buat
ialah menghadapi apa sahaja tindakan daripada kerajaan Barisan Nasional pimpinan
diktator tua dengan hati yang tenang. Parti pembangkang dan rakyat biasa perlu
banyak bersabar dan tabah dalam menghadapi dugaan. Saya akui cabaran dan dugaan
benar-benar menguji kesabaran saya. Ada kalanya saya berasa kecewa dan hopeless
kerana saya tidak tahu apa yang saya patut lakukan untuk menyuarakan kemarahan
saya kepada kerajaan. Melalui penulisan, saya berharap idea dan pendapat saya
dapat dikongsi bersama oleh pengunjung laman web dengan bertujuan untuk memberi
petunjuk kepada mereka yang masih berada dalam lamunan. Saya minta mohon maaf
kalau ada tersilap bahasa dalam penulisan saya. Sebagai penulis jalanan, saya akan
terus menyumbangkan penulisan saya walaupun saya sibuk dengan tugas harian. Azam
saya dan rakyat yang cintakan keamanan dan keharmonian ialah menuntut supaya hak
rakyat dikembalikan dan kerajaan Barisan Nasional ditumbangkan dan dikuburkan pada
pemilu 2004. Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada pejuang-pejuang reformasi.
LTL
|
|